Tanah Runtuh


AHLI KUMPULAN 

1. NORFADHILAH BINTI MOHAMAD AZMI
2. YUZARINA BINTI YUSOF
3. HADANIAH BINTI IDRIS

HAKISAN TANAH



Definisi Hakisan.
            Hakisan difahami sebagai pemusnahan muka bumi oleh agen yang sekaligus mengangkut bahan yang telah termusnah. Yakni hakisan oleh agen air didefinisikan sebagai erosi atau hakisan air (Ibrahim Komoo, 1987 : 33). Walau bagaimanapun, dalam proses hakisan ia melibatkan pemusnahan dan pengangkutan sama ada oleh hakisan air hujan, aliran air sungai atau aktiviti hakisan air bawah tanah. Menurut Cummings(1978), perkataan Erosi (Erosion ) berasal daripada bahasa latin eridore; sentiasa bertindak (to gnaw) melonggar dan mengeluarkan bahan -bahan permukaan tanah. Hakisan boleh difahami sebagai proses pemusnahan dan pembentukan bentuk muka bumi di kawasan lain yang disebabkan oleh tindakan air mengalir yang bermula dari air hujan yang menimpa permukaan bumi sehinggalah terjadi pembentukan air mengalir di atas permukaan bumi termasuk aliran sungai.

Proses Hakisan Tanah Oleh Air Mengalir.
            Menurut Cummings(1998) tarikan graviti membantu dalam sistem hakisan melalui daya tarikan ke atas air hujan atau air mengalir melonggarkan butiran tanah dan membawa ke tempat lain. Hujan umpamanya, pada kebiasaan mempunyai diameter 2 hingga 5 mm apabila jatuh ke permukaan bumi yang terdedah akan menyebabkan permukaan bumi akan mengalami hakisan melalui kesan air hujan yang menimpa tadi. Dalam rajah 1 di atas menunjukkan air hujan yang jatuh menimpa permukaan bumi dalam kelajuan yang tinggi. Semakin besar butiran air hujan, semakin laju ia jatuh. Semakin besar luas permukaan yang ditimpa. Sebagai contoh, jika hujan rebut boleh menghasilkan butiran hujan bersaiz 5mm menimpa 50mm permukaan bumi maka setiap meter persegi permukaan bumi akan ditimpa sebanyak 10,000.5g setiap butiran hujan pada kelajuan 30 km perjam. Apabila air hujan menimpa tanah yang terdedah, tenaga tadi akan dipindahkan terus pada tanah. Tenaga ini akan memecahkan butiran tanah yang longgar dan tercerai sehingga 150mm dari titik hentaman. Ini dapat diterangkan dengan rajah yang ditunjukkan di bawah.
            Proses hakisan tidak akan berhenti begitu sahaja. Sekiranya hujan yang turun di sesuatu kawasan dalam jangka masa yang lama dan kebetulan kawasan berkenaan merupakan kawasan yang tidak mempunyai tumbuhan maka kejadian banjir kilat atau air larian permukaan akan terjadi. Kejadian seumpama ini berlaku apabila permukaan bumi tidak mempunyai kemampuan untuk menyerap air yakni permukaan bumi telah menjadi tepu meenyebabkan air bertakung di atas permukaan yang akan menyebabkan permulaan aliran air permukaan atau banjir kilat. Kejadian banjir kilat juga disebabkan oleh kesan timpaan air hujan yang menanggalkan butiran tanah yang longgar dan menutup rekahan – rekahan permukaan bumi. Sekiranya permukaan bumi adalah datar maka air akan mengalir perlahan dan melonggarkan butiran tanah atau melontarkannya ke atas akibat daripada timpaan tadi. Walau bagaimanapun, sekiranya keadaan bentuk muka bumi di kawasan berkenaan adalah curam, tarikan graviti akan menyebabkan air mengalir dengan laju menuruni bukit. Air tadi akan mengalir melalui alur kecil dan permukaan tanah yang rendah yang akhirnya membentuk alur yang lebih besar di permukaan bumi. Kelajuan air yang tinggi akan meningkatkan daya potensi air mengalir tadi menghakis permukaan bumi melalui proses cakaran dan ragutan permukaan. Semakin banyak alur maka semakin tinggilah kelajuan air mengalir dan semakin curam tebing bukit maka semakin laju air mengalir. Proses ini dapat ditunjukkan dalam Rajah 3 di bawah.

Jenis-jenis hakisan tanah.
Proses hakisan mempunyai kesan akibatnya. Proses hakisan pada kebiasaannya akan menyebabkan kehilangan bahan fizikal, mengurangkan kedalaman akar tumbuhan, mengurangkan tanah subur untuk kegunaan tumbuhan dan pengurangan nutrien serta bahan argonik. Selain daripada itu, ia juga menyebabkan pengurangan populasi tumbuhan sekaligus mengurangkan kitaran argonik. Kesan buruk yang tidak menyenangkan hasil hakisan tadi dialihkan ke kawasan tanah rendah yang akan menyebabkan dasar sungai menjadi cetek dan kadang kala juga merosakkan harta benda seperti jalan raya, pelabuhan dan juga empangan (Cummings,1998) Dalam pada itu, proses hakisan ini terdiri daripada beberapa jenis seperti yang berikut:-

1.    Hakisan hujan.
Hentaman air hujan biasanya sangat berkesan di kawasan tanah lapang yang mana pokok atau tumbuhan asal telah ditebang dan permukaan bumi terdedah pada sinaran matahari dan juga air hujan. Walau bagaimanapun, kesan hakisan air hujan ini tidak jelas di kawasan yang tertutup oleh rimbunan tumbuhan. Apa yang nyata, pada masa ini sebahagian daripada permukaan bumi telah diusahakan untuk tujuan tertentu sama ada pertanian, perlombongan, penempatan dan sebagainya telah menyebabkan permukaan bumi terdedah pada hakisan air hujan dan dalam tempoh jangka panjang menyebabkan sesuatu kawasan akan menjadi gondol. Menurut kajian yang dibuat menunjukkan bahawa hujan lebat boleh menyebabkan hakisan hujan tadi  memindahkan tanah sehingga mencapai 100 tan untuk setiap ekar (Ibrahim Komoo,1987 : 36).

2.    Hakisan sungai.
Aliran sungai yang mengalir sebenarnya bermula dari air hujan yang turun di kawasan tanah tinggi yang kemudiannya ke dalam alur-alur kecil. Air tadi akan terus mengalir sambil menghakis serta mengangkut bahan yang telah dihakis kemudian masuk ke dalam alur yang lebih besar seterusnya membentuk aliran sungai. Umumnya, sungai mempunyai 2 fungsi iaitu sebagai satu sistem pengairan dan kedua bertanggungjawab terhadap semua aktiviti permukaan bumi sama ada dengan cara melarut atau menghakis di kawasan sungai yang mengalir. Proses hakisan sungai ini banyak bergantung pada kuantiti air, halaju dan bahan yang diangkutnya. Bahan yang diangkut tadi dikenali sebagai muatan yang mempunyai fungsi yang sangat besar sebagai agen hakisan dasar sungai melalui lagaan, lelasan yang mana puing tadi bertindak sebagai bahan pemotong terhadap halangan yang terdapat dalam sungai berkenaan.

3.    Hakisan air bawah tanah.
Dalam proses hakisan tanah, hakisan bukan sekadar berlaku di atas permukaan bumi tetapi juga berlaku di dalam bumi khususnya disebabkan oleh aktiviti aliran air bawah tanah terutama sekali di kawasan batu kapur. Walau bagaimanapun, proses ini sangat lambat berbanding dengan hakisan permukaan kerana penyerapan air ke dalam bumi bergantung pada sifat ketelapan dan keporosan batu-batan termasuk rekahan batuan. Air bawah tanah bergerak keluar di anak sungai atau kawasan kaki bukit sebagai mata air dan sebahagian pula bergerak di sepanjang akuifer yang bergerak melalui lohong dan sungai bawah tanah. Menurut Ibrahim Komoo lagi hakisan bawah tanah ini lebih aktif pada kawasan batuan yang mudah terlarut khususnya di kawasan batu kapur. Pergerakan air bawah tanah di antara rekahan mampu melarutkan dinding rekahan dan mengangkut hasilnya ke tempat lain dan lama kelamaan semakin besar akhirnya membentuk gua dan sungai bawah tanah.

Masalah Dan Kesan Hakisan Tanah Oleh Tindakan Air Terhadap Alam Sekitar Dan Ekonomi.

1.    Kekurangan Tanah Subur.
Dalam bidang pertanian, hakisan merugikan petani kerana ia menghakis lapisan atas tanah yang subur untuk tujuan pertanian yang mana lapisan bawah tanah subur tadi adalah kurang subur untuk ditanam. Kesan yang dapat dilihat sekiranya tanah subur terhakis ialah tanaman kurang subur dan kurang menghasilkan buah dan kesan ini mungkin memberikan impak terhadap pengeluaran bekalan makanan negara dan dunia amnya. Contoh paling sesuai ialah kawasan sawah padi yang terhakis akibat daripada aliran air yang membawa keluar lapisan tanah yang subur ke dalam terusan atau ruang permukaan yang tidak diusahakan.

2.    Kejadian Banjir Kilat Yang Merugikan.
Hakisan juga sering menyebabkan kejadian banjir kilat di kawasan tanah rendah terutama sekali kawasan yang terdedah pada hakisan. Banjir kilat bukan sekadar terjadi di kawasan tanah lapang di kawasan pedalaman tetapi juga terjadi di Bandar-bandar besar yang berhampiran dengan sungai. Kejadian banjir sering berlaku akibat daripada dasar sungai yang cetek menyebabkan air melimpah keluar. Banjir kilat bukan sekadar merugikan kerajaan kerana penyelenggaraan empangan yang semakin cetek tetapi juga dasar sungai yang cetek atau pembinaan benteng tetapi juga merugikan para petani kerana kehilangan lapisan permukaan tanah yang subur untuk tujuan pertanian. Dalam pada itu, kejadian hakisan di kawasan kaki bukit juga merugikan negara kerana kesannya seperti tanah runtuh selalu merosakkan jalan raya yang bukan sekadar memerlukan kos penyelenggaraan tetapi juga menghentikan aktiviti ekonomi kerana jalan perhubungan yang terganggu. Sebagai contoh, kejadian tanah runtuh di sepanjang jalan ke Genting Highlands dan Cameroon Highlands yang merugikan petani dan pengusaha hotel kerana aktiviti ekonomi terjejas apabila berlaku kejadian tanah runtuh.

3.    Tanah runtuh yang membahayakan.
Kawasan kaki bukit biasanya sering terjadi kejadian tanah runtuh sehingga melibatkan banyak kesan buruk terhadap alam sekitar. Ini dapat dilihat jika berlaku kejadian tanah runtuh kawasan tadahan hujan ia akan menyebabkan pengangkutan bahan hakisan ke kawasan empangan dan kawasan tadahan akan terjejas akibat daripada aktiviti hakisan. Dalam kes tertentu, tanah runtuh bukan sekadar mencemarkan sungai tetapi juga akan menyebabkan kehilangan nyawa dan juga kepupusan hutan.

4.    Pengurangan lapisan tanah subur
Proses hakisan bukan sekadar merosakkan permukaan bumi yang terdedah tetapi sekaligus mengangkut lapisan tanah yang kaya dengan nutrien dan humus yang sangat berguna kepada aktiviti pertanian. Pada kebiasaannya, tanah subur ini akan dipindahkan ke kawasan yang lebih rendah dan ditimbunkan sebagai delta tetapi dalam hal tertentu tanah subur ini akan terus ke laut dan hilang yang secara langsung tidak memberikan faedah kepada aktiviti pertanian.

5.    Dasar sungai dan empangan menjadi cetek.

Hakisan akibat daripada aliran air yang mengangkut bersama bahan peroi yang dihakis di kawasan tanah tinggi akan dibawa bersama dan dimendapkan di sepanjang sungai. Sekiranya aktiviti hakisan yang pesat di bahagian hulu sungai berkenaan lama kelamaan dasar sungai dan empangan akan menjadi cetek yang boleh menyebabkan banjir. Jadi hal ini sangat merugikan kerana dasar sungai dan empangan perlu diperdalamkan untuk mengelakkan sungai menjadi kering pada musim panas dan banjir pada musim tengkujuh

Kesimpulan.
Agen-agen hakisan seperti air, angin dan glasier sangat efektif mengukir dan mengubah lanskap sesuatu kawasan. Dalam pada itu, air sangat berkesan dalam pembentukan bentuk muka bumi di kawasan tropika yang bukan sekadar memberikan kebaikan dan juga keburukan kepada alam sekitar dan ekonomi tetapi proses ini harus berterusan untuk mengimbangi keadaan alam sekitar yang “parah” hasil kegiatan manusia yang sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti dan juga keuntungan ekonomi. Proses hakisan ini penting kerana walaupun ia menyebabkan masalah tetapi proses ini perlu untuk menggantikan tanah yang kehilangan nutrien khususnya di kawasan tanah rendah seperti dataran yang menjadi tumpuan utama aktiviti pertanian. Kesedaran terhadap tindakan juga telah memberikan rumusan baru terhadap kesedaran dalam pengawalan hakisan tindakan air mengalir. Di negara kita, apa yang kita lihat di kawasan tanah tinggi, kaki bukit , tebing tinggi di sepanjang jalan raya dan lebuh raya telah diteres dan juga ditanam dengan rumput semata-mata mengurangkan kadar hakisan. Pembinaan empangan telah berjaya menahan arus sungai daripada menghakis tebing sungai, kawalan kerajaan terhadap aktiviti pembalakan dan kempen bumi hijau telah berjaya mengurangkan kadar hakisan.






1 comment:

  1. tahniah untuk projek yang hebat. teruskan usaha murni anda

    ReplyDelete